PERUTUSAN KETUA EKSEKUTIF
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT di atas segala limpah dan rahmatnya.
Selamat Datang dan Terima Kasih kepada semua pengunjung yang melayari Laman Web Rasmi Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) iaitu sebuah institusi induk di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang berperanan untuk menerajui serta menyelaras kursus dan program latihan kemahiran pusat latihan agensi-agensi melibatkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di bawah satu organisasi.
Sebagai sebuah Badan Peneraju Industri, IMPAC berperanan menerajui dan memperkasakan program latihan kemahiran sektor agrikomoditi sejajar dengan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Revolusi Industri 4.0 bagi memenuhi keperluan semasa. Perkembangan teknologi maklumat yang kian pesat telah membolehkan pengguna untuk memperolehi maklumat yang diperlukan dihujung jari tidak kira di mana jua kita berada. Laman web ini berperanan sebagai satu wadah hebahan mengenai peluang-peluang latihan kemahiran, kursus jangka panjang dan jangka pendek yang ditawarkan oleh agensi-agensi pelaksana merentasi pelbagai golongan sasar dalam sektor agrikomoditi.
Adalah menjadi harapan saya agar semua pengunjung Laman Web Rasmi IMPAC dapat menggunakan dan memanfaatkan laman ini sebagai medium penghubung antara IMPAC dengan masyarakat luar untuk mendapatkan informasi yang terkini sekaligus memperluas akses peluang latihan dan kerjaya dalam sektor agrikomoditi. Laman web ini juga diharapkan dapat menjadi satu platform yang mampu menggalakkan kumpulan sasar khususnya golongan belia tempatan untuk memilih kerjaya di industri perladangan sebagai kerjaya pilihan utama di masa hadapan.
Sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua kakitangan yang terlibat dan berusaha keras dalam pembangunan laman web ini. Laman Web Rasmi ini akan sentiasa dikemaskini dan ditambah baik untuk memastikan ia berterusan membekalkan informasi dan relevan. Sebarang pandangan, cadangan dan kritikan yang membina amatlah dialu-alukan.
Semoga usaha oleh IMPAC ini dapat membuahkan hasil berimpak tinggi dalam memartabatkan industri agrikomoditi negara. Selamat melayari Laman Web Rasmi IMPAC.
PUAN NAZATUL NIZA NORDIN
Ketua Eksekutif
Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC)
“Badan Peneraju Industri Agrikomoditi”